Laman

Senin, 24 April 2017

Fahamilah Maksud Perbuatan Tuhan

Orang yang tidak kenal Allah,
Orang yang tidak faham kerja-kerja Allah
Dia tidak akan faham maksud Allah menjadikan sesuatu
Maksud Allah itu difaham mengikut yang dia faham
Akhirnya dia tidak mampu menanggung, apa yang dilakukan oleh Allah pada dirinya

Kalau Allah beri dia kuasa,
Allah hendak melihatkan kuasa-Nya pada diri orang itu
Tapi orang itu merasa berkuasa dan berbangga dengan kuasa yang ada
Dia pun takbur dan sombong dan menyalahguna kuasanya

Jika dia diberi kekayaan,
Allah hendak melihatkan kekayaan-Nya pada diri orang itu
Tapi orang itu dialah yang merasa kaya, dia pun megah dan sombong
Dia pun menghina orang yang papa kedana

Apabila Allah memberi ilmu,
Allah hendak memberitahu ilmu-Nya pada orang itu
Ilmu Allah yang diberi kepadanya
Orang itu menganggap dialah yang punya ilmu,
Dia mahu dihormat dan dipuji
Dia rasa, dialah orang alim yang patut dimuliakan
Padahal Allah hendak melihatkan ilmu-Nya pada orang itu

Jika seseorang itu suaranya sedap atau rupa parasnya cantik
Allah memberitahu itu adalah anugerah Allah padanya
Allah pinjamkan kepadanya
Tapi orang itu merasa megah pula dengan suara dan rupanya
Ingin dipuji dan disanjung selalu


Kalau Allah uji seseorang dengan kesusahan dan penderitaan
Allah hendak memberitahu,
Dia mampu bertindak apa sahaja kalau Dia mau
Dia mau orang itu sedar dan insaf agar kembali kepada-Nya
Tapi orang itu pula dia tidak senang, gelisah, kecewa dan putus asa
Begitulah orang yang tidak kenal dan tidak faham perbuatan Tuhan

Orang itu tidak akan rasa tenang jiwanya
Jiwanya tidak senang dan kecewa selalu mungkin putus asa
Hormat orang tidak kekal, sanjungan orang tidak selalu
Pujian orang tidak mesti sampai datang
Kemegahan dan kekuasaan tidak selama-lamanya
Apabila segala-galanya sudah tidak wujud
Lagi kecewa, menderita, putus asa

Oleh itu kenalilah Allah
Fahamilah maksud perbuatan Allah
Bukan maksud seperti yang kita fahami

Tidak ada komentar:

Posting Komentar